Adventura, Fiksyen
Leave a Comment

Panjat Tinggi-Tinggi

Satu hari tu, mak Mira bengang dengan Mira yang kerap sangat memanjat pokok. Mak selalu pesan, “Kau tu wanita, jaga sikit kewanitaanmu. Jangan jatuhkan maruah,” Namun Mira manalah nak faham, kerana waktu itu dia masih kecil, baru sepuluh tahun agaknya.

Pada usia itu, dia sudah boleh memanjat pokok mangga yang tinggi merimbun. Ada saatnya, dia dipukul teruk kerana tidak mendengar cakap, sehingga betisnya berbekas biru pasutan rotan. Sebelum dirotan, Mira sempat meletakkan beberapa ulas mangga di meja makan dengan kemas. Dia seperti memberi bukti kukuh bahawa dia seorang pesalah di depan juri.

Sehinggalah mencapai umur sekolah menengah, Mira masih dengan tabiat buruknya. Kali ini, dia sudah mencapai ketinggian pokok kelapa pula. Dan mak masih marah, kadang dia sumpah serapah, menyalahkan bapa kerana ingin sangat anak lelaki sebagai anak sulung, sehingga doa itu mustajab terkena Mira. Namun begitu, Mira sentiasa sempat menyusun kemas beberapa biji kelapa muda di meja makan, sebelum dihambat dengan tali pinggang yang masih bergancu.

Mak marah, dan menyuruh Mira belajar tinggi-tinggi, bukan panjat tinggi-tinggi. “Walaupun satu hari nanti kerja kau hanya di dapur, kau mesti berdikari juga, mesti bijak juga, mesti ada kerja juga, jangan macam aku–bapa engkau tinggalkan aku dengan kau ni sebatang kara. Sekarang aku tak taulah nak buat apa,” kata mak.

Tapi Mira tahu dan akun bahawa dia tak cerdik macam anak-anak orang lain—macam anak orang yang masuk berita kerana skor semua A—pandai-pandai macam anak jiran sebelah, yang selalu kenduri-kendara bila anaknya dapat keputusan cemerlang.

Satu hari tu, Mira melukis beberapa pokok kelapa; pokok mangga, pokok cermai, pokok pinang, dan sedikit nombor sebagai jawapan kertas peperiksaan akhir Matematik. Cerita itu tersebar ke kampung dan menjadi buah mulut orang, menjadi bahan ketawa di kedai kopi, menjadi ejekan dari jiran sebelah, sehinggalah sampai ke telinga mak. Masa itu, mak diam.

Mak diam sambil menyikat rambut, dan memanggil Mira. Mak tak pernah diam walaupun tengah menyikat rambut, mak tak pernah diam selepas bapa meninggalkan rumah. Mira hanya menunduk sambil mengira keriut papan rumah yang dipijak, dan bersedia untuk dihukum.

“Tak apa nak, orang tak faham kau buat apa. Anak-anak lain tak akan faham macam mana nak cari makan untuk maknya yang lumpuh,” Mak mengusap dan menyikat rambut Mira yang masih kusut bersulam sabut kelapa.

“Nanti panjatlah tinggi-tinggi lagi ya.”

This entry was posted in: Adventura, Fiksyen
Tagged with:

by

s.k, tidak mempunyai cita-cita tinggi. Sekalipun ada, dia tidak akan menulisnya di laman sesawang atau memberitahu kamu. Beliau sukar diramal, seperti tulisan-tulisannya. Pernah katanya, waktu cerek air di atas dapur, jika kamu rasa cerita selepasnya adalah air cerek itu dituang ke mana-mana, ramalan kamu seperti bulu pelepah di atas pagar. Terlalu selesa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s