Adventura, Fiksyen
Leave a Comment

Nenekanda

Bila kita bicara pasal hantu, selalunya, pertama sekali yang terkeluar dari imaginasi adalah bayangan seorang perempuan atau jembalang–retrospek dari filem horor pernah kita tonton dulu, variasi wajah mereka, termasuk juga cara pemakaian, pergerakannya–berjalan, terbang atau melompat–atau bau.

Pagi adalah waktu yang kurang sesuai untuk bicara tentang ini. Watak-watak itu hanya akan jadi kaku dibakar matahari dan hanya melekat di minda kita untuk seimbas waktu–mungkin sudah disusunkan dalam kepala bahawa pagi menerangkan–terang adalah waras yang menyelamatkan kita dari benda yang tidak masuk akal.

Namun, bila malam, itulah masanya otak me-rebel-kan diri, berusaha untuk bebas melayang di udara, menukar benda mustahil kepada sesuatu yang tidak mustahil–seperti ada satu situasi malam contohnya, selalu menjadikan kita lebih dramatik tentang bunyi-bunyi pelik di dapur. Paip air terpasang sendiri. Bunyi geseran di atap. Apalagi bila benda itu berlaku berulang-ulang kali pada masa yang sama. Siapa saja kita salahkan bila mata kita tidak nampak siapa pelakunya, kalau bukan benda ghaib, bukan?

Bila ada benda-benda begitu berlaku, selalunya nenek saya akan coba bercakap dengan ‘mereka.’ Nenek menghalau dengan lembut, kebiasaannya mengisytiharkan mereka sebagai tamu yang tidak diundang, atau paling repetitif adalah dialognya–

“Kalau kamu berniat baik, tinggallah, kalau berniat jahat, engkau keluarlah dari sini,” dengan pelat Kota Belud tuanya yang lembut.

Bila saya dengar jampi-jampi itu, saya selalunya teruja, apa lagi bila yang membacanya seorang yang berpangkat nenek, dialog itu kedengaran sudah sedia berdaulat. Saya jarang tahu keputusannya tapi bila nenek berkata begitu, saya rasa lega.

Nenek jarang bercerita tentang hantu. Sangat-sangat jarang, atau mungkin tidak pernah. Mungkin, waktu dia hidup, dia terlalu sibuk menjadi tua.

Tapi kadang-kadang, bila bercerita tentang hantu, dan jika hantu itu boleh wujud dalam figura apa saja, saya akan ingat nenek saya. Dari gambaran terakhir saya tentang nenek, pasti hantu nenek penyayang, comel, gendut dan terjengket-jengket melintasi jalan raya tanpa menoleh kiri dan kanan.

Saya membawa kamu kepada satu situasi bagaimana seseorang boleh survive melintas jalan raya dengan hanya melihat ke bawah, berehat sekejap di pembahagi jalan, lalu sambung menyeberang ke sebelah lagi jalan raya. Dahsyat? Itu nenek saya, lebih hebat dari hantu engkau.

Ini yang ibu ceritakan kepada kami bila nenek, dari Kota Belud, datang melawat dan menginap di rumah kecil kami di Kota Kinabalu dengan menaiki bas kecil bertambangkan lima belas ringgit pada waktu itu. Dia kata dia risau nenek melintas jalan seorang diri. Sebabnya, nenek hanya tengok ke bawah.

Dan bila dia ingin ke rumah, dia tidak akan beritahu bila masanya. Ikut suka hati. Nenek seperti seorang ibu yang sedang membaluti sayang dan rindu kepada anaknya dengan hanya berdiam, tapi menyentuh.

Saya pernah rasa sentuhan nenek ketika sedang tidur di sebelahnya di ruang tamu, nenek membangunkan saya dengan gurauan yang agak aneh–memakai kapas telinga mengusik telinga dan rambut saya. Sensasi itu seperti seekor lalat memakai awan di kakinya, menjelajahi beberapa daerah di kepala saya. Bila saya coba menghalaunya, saya boleh kesan yang nenek sedang menahan ketawa melihat kerenah saya.

Itu adalah pengalaman bangun tidur yang sangat menjengkelkan ya, tuan puan, tapi nak buat apa.

Tapi apa yang membuatkan saya mahu dia menjadi hantu? Kesilapan. Suatu memori tidak akan menjadi hantu jika ianya tidak bermula dengan kesilapan.

Saya sedar dengan satu kesilapan saya. Ketika itu musim persekolahan sudah dekat. Saya menyalahkan nenek kerana menganggu kami untuk membuat persediaan. Saya tanya nenek berulang-ulang, bila nenek balik kampung (Kota Belud)? Esok? Lusa? Esoklah. Esoklah. Kami mahu jalan. Nenek sampai tak bercakap apa. Dia baru sampai dua hari lepas, dan saya tahu nenek sering menetap di rumah seminggu tidak kurang.

Saya coba cari, dan saya tidak tahu kenapa, di mata saya, nenek sangat membebankan pada masa itu. Mungkin kerana otak saya hanya di takat budak sahaja. Adakah membawa nenek kita menaiki bas ke bandar, melawat shopping mall, membeli belah, nampak remeh dan menyusahkan?

Esoknya nenek pulang, dan saya bahagia.

Saya tidak tahu apa yang bermain di hati nenek hari itu, yang penting saya bahagia melihat nenek keluar berjalan kaki sendiri, melintas jalan untuk menaikil bas ke Kota Belud dengan bakul-bakul tanpa menemaninya.

Beberapa tahun kemudian, nenek meninggal dunia.

Dinihari, bila minda berparas matang, angan boleh terbang jauh–coba kita bayangkan, bila ada burung terbang di atas kita, cuba lihat langit dengan cara mereka melihatnya. Atau cuba lihat skrin kaca telefon bimbit orang lain di depan kita dengan cara mereka menatapnya. Mungkin WhatsApp, Facebook sedemikian, mungkin betul, mungkin tidak.

Dan hari ini, saya melihat hati hari itu, seorang perempuan tua bernama Halimah binti Abdullah, berjalan di atas tanah yang sesekali berlopak ke jalan raya, dan melintasinya, menunggu bas untuk pulang ke rumah. Sesuatu bacaan seperti kesal. Bila saya coba lihat dari cara dia melihat jalan raya pada hari itu, kabur, kerana pandangan orang tua, atau mungkin takungan air mata. Mungkin betul, mungkin tidak.

Dan mungkin bila saya boleh membuka mulut, saya akan kata, “Nek, tinggallah sini selamanya, dan tolong, nanti jadi hantu, jadi hantu yang comel dan gendut dan rambutnya berbau minyak kelapa, dan usap rambut saya bila saya rindu.”

This entry was posted in: Adventura, Fiksyen

by

s.k, tidak mempunyai cita-cita tinggi. Sekalipun ada, dia tidak akan menulisnya di laman sesawang atau memberitahu kamu. Beliau sukar diramal, seperti tulisan-tulisannya. Pernah katanya, waktu cerek air di atas dapur, jika kamu rasa cerita selepasnya adalah air cerek itu dituang ke mana-mana, ramalan kamu seperti bulu pelepah di atas pagar. Terlalu selesa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s