Adventura, Fiksyen
Leave a Comment

Kopi

Kopi yang kau buat pada malam ini agak pahit dan rasa sabun, mungkin gelas tidak dibilas dengan bersih. Lontaran vibrato berlebihan penyanyi dari lagu midnight jazz di corong radio agak sedikit menjengkelkan, berulang-ulang macam ada benda yang dia tak puas hati. Kau mengecilkan suara radio, membelek perlahan cawan kopi, mencari kilauan lekit sabun, tak ada.

Oleh kerana terlalu statik di bilik ini, kau kenakan pakaian bersahaja; hoodie dan sweat pants, dan telefon bimbit dengan penyuara kuping, mengambil dompet Camel yang isinya beribu, Camel agak kembung. Malam ini kau tinggalkan kunci kereta, sudah lama tidak berjalan kaki keliling kota metropolis, atau mungkin tidak pernah.

Agak lama menunggu ketibaan lif, kau memasang playlist Inggeris oldies sebab melodi mereka menenangkan, dan kau tidak faham bahasa Inggeris. Kau suka dengar benda yang kau tidak faham sebab kau tak nak imaginasi kau tersekat bila memilih, macam hidup.

Lif tiba. Kau kurang peka sama ada pintu keluar utama di lobi atau tingkat satu, selalunya ada pekerja lif yang menolong tekan, barangkali dia sudah tidur dengan salah satu pelanggan hotel yang lawa. Maka dua punat itu kau tekan serentak. Hanya ada kau dan kembar pantulan di cermin.

Di muka cermin kelihatan kening bertaris luka zaman dulu-dulu, zaman tindik-menindik, zaman menjadi orang yang dewasa, zaman memberontak dengan kedua orang tua. Gigi polis tua yang berjarak agak jauh dari biasa itu tiba-tiba saja muncul bila kau lihat parut itu. Dia kata kau samseng, kau rebel, kau kata samseng selalu pakai uniform, sekelip mata saja dia cungkil anting berbentuk sfera dan ada sfera di kening kiri kau, darah membasahi pipi.

Mungkin dia salah faham maksud kau. Mungkin dia tak tengok filem The Godfather atau American Gangster, atau mungkin kau harus lebih tekun belajar apa itu suit dan uniform atau kemeja atau formal atau kasual pada waktu itu.

Lif berdeting, sudah sampai ke tingkat satu dan kau harap ada pintu keluar utama di depan. Pintu perlahan-lahan terbuka, seorang perempuan ber-dress merah paras paha yang sedang memegang kasut tumit tinggi, berkaki ayam, matanya tertutup macam dalam tabloid, namun kali ini modelnya agak hambar. Tapi kau sedikit teruja kerana selain dari hippopotamus memakai gincu ungu gelap menari limbo, ini adalah doa kegemaran yang sering kau baca sebelum tidur.

Kau sudah pasti, pintu keluar utama berada di lobi dan perempuan ber-dress merah itu pula masuk ke dalam lif.

Dia sedikit tidak stabil bila berdiri dan menundukkan kepala. Kakinya kadang-kadang nampak lenguh di sebelah kiri, menongkatkan badan dengan kaki kanan. Dari setengah paha yang ditutupi dress merah hingga ke bawah, kaki itu kelihatan agak familiar. Ia seperti kaki yang pernah kau pegang dulu, kaki yang pernah membuat beberapa bahagian tubuh badan kau yang sulit merenik peluh. Rambutnya seperti anak sungai yang beralun mengalirkan air, sehingga air itu macam pernah menitis jatuh ke atas dahi kau, macam pernah, kau rasa.

Kau syak kau kenal dia, namun diam, dan diam bertambah sunyi ketika itu. Sedikit keriut tagar besi lif pun tak ada, nil. Kadangkala hanya kedengaran dia berdehem membersihkan anak tekak dan sekali sekala terikut bunyi seperti anak tekak mahu keluar nak muntah. Antara kandungan arak dalam badannya berlebihan atau baru saja makan hati, kau tak tahu. Tapi badannya ramping bentuk biola membuatkan kau rindu dengan asap nikotin.

Pesona pandangan dari belakang kau ini perlukan nikotin.

Lif tiba di lobi. Ruang lif itu agak besar, namun kamu seperti kanak-kanak sedang berebut keluar dari kelas ketika waktu persekolahan tamat. Bahu kamu berlaga bila kamu coba keluar dari pintu.

Bila kau mula jalan ke depan, kau terdengar sedu kecil dari perempuan itu, kedengaran seperti sedang menangis. Tiba-tiba saja dia berhenti, dia undurkan semula langkahnya, menahan pintu dan masuk balik ke dalam lif. Kali ini kepalanya didongak, kelihatan seperti penuh dengan harapan agar dunia milik kegembiraan selamanya, tanpa masalah, tidak memerlukan penjualan jiwa untuk hidup dan semuanya pecuma seperti udara yang tak berbayar.

Kau tengok dia, dan kau cuma senyum lalu melihat dinding hotel, tengok keadaan hotel.

Kau kagum dengan reka bentuk dalaman yang menawarkan emosi urban, pada awalnya. Tetapi, sesudah kerap keluar-masuk, keadaan memaksa kau untuk merindukan suasana rumah, sejuk angin yang realis, daun gugur, rumput sundal yang geliga mencucuk tembus seluar sukan, anak air sungai, dan segala kelakuan desa. Kuning blanched-almond ini terlalu terang, bikin kau rindukan warna hijau.

Penyambut tetamu menyapa kau keluar dengan mesra.

Di luar pintu utama, kau melihat sisa tujuh minit sebelum jam dua belas malam. Kau habiskan tujuh minit ini untuk merokok, dan kemudian mungkin akan mengelilingi kota. Kau nyalakan pemetik api, petik dua tiga kali, baru nak menyala, bakar punca nikotin, dan menyandar ke dinding di bawah cahaya lampu perang hotel.

Ada seorang lelaki datang ke arah kau, matanya bengkak sebelah, berkulit hitam dan kusam, janggut dan kumis kelihatan macam benih chia baru nak tumbuh, jalannya terhuyung-hayang, mungkin sebab alkohol berlebihan atau kalah judi, atau kedua-duanya. Dia orang kedua yang kau lihat mabuk untuk malam ini. Lelaki itu datang ke arah kau, dan mengeluarkan kata-kata yang kau tidak faham. Yang paling jelas kau dengar adalah dinosaur, Zeus, Sophist, dan kanta kaca mata hilang sebelah. Itu saja. Dia seperti berhujah tentang kiamat, dan kau hanya angguk sambil menyedut rokok berkali-kali.

Orang mabuk memang suka bercerita pasal agama. Kau sedar benda ni bila kawan-kawan yang mengakhiri perbualan mabuk atau stoned atau high dengan cerita kewujudan tuhan. Kadangkala kau juga terikut sama, dan kau rasa pada waktu itu–tuhan maha tahu, cukup kuat untuk jadi alasan kenapa kau minum arak.

Kau masih diam, dan lelaki tu masih berada di situ sehingga penyambut tetamu menolong untuk menghalaunya. Rokok malam ini sangat panjang, sisa masa masih berbaki tiga minit, dan kau sudah berjanji dengan diri untuk bergerak tepat pada jam dua belas malam.

Kota bungkam biarpun sibuk, pemandangan malam sangat cantik kerana sinar lampu-neon-iklan-papan-digital-besar macam di New York dulu, lampu-lampu hotel dari jarak jauh, lampu isyarat, semua seperti pelangi sedang berejakulasi, memancut warna ke sana sini, membuat kota pada malam itu seperti gedung rama-rama yang sedang berpesta, berlawanan dengan keadaan pada waktu siang kerana euforia siang di situ adalah tanda-tanda beban yang harus kau pikul.

Jam sudah melebihi tiga minit. Kau lihat rokok masih banyak baki, dan ok lah, genapkannya kepada 6 minit baru mula melangkah. Kau lebih suka nombor genap daripada ganjil sebab senang kira. Benda ganjil ni sangat leceh, macam sembilan sen pada harga jualan, dan baki satu sen jika kau bayar sepuluh sen, dan satu sen itu entah nak simpan mana. Semua tahu benda tu tidak berharga kalau hanya ada satu angka. Tak ada nilai.

Kau menyedut kembali rokok dan tiba-tiba panas menyengat ke bibir dari celah jari, tanpa sedar, nyalaan sudah sampai ke puntung. Kau membuangnya sambil memaki dalam Inggeris.

Jam dua belas tujuh minit tengah malam ini pula, ketika kau ingin mengangkat kaki, kau disergah dengan bunyi benda jatuh tepat-tepat di sebelah kiri kau. Bunyi seperti benda cemburu dengan graviti, atau cempedak yang jatuh dari pokok atau ibn Firnas dan adik-beradik Wright jatuh dari langit atau 9/11 berulang lagi dengan berlainan konsep kali ini, atau seseorang yang memutuskan kematian adalah pelarian yang paling efektif.

Kau cuma harap benda yang jatuh di sebelah kiri ini, tepat-tepat jarak dua kaki di sebelah kiri ini, bukan seseorang perempuan ber-dress merah yang kau baru jumpa di lif tadi, sebab kau rasa ada benda penting yang belum kau sampaikan kepada dia, ada perbualan yang tersekat antara kau dan dia di lif tadi, ada sesuatu yang patut kau raikan bersama dia.

Kau rasa ada sedikit penyesalan sebab kau tak cakap awal-awal dengan dia, atau bertanya, kau kenapa, boleh saya bantu, atau sesuatu macam itu. Naluri seperti memulas jantung dan hati kau secara tiba-tiba, dan kau menoleh.

Cempedak.

Ada pasangan bergaduh di tingkat atas yang menjadikan cempedak sebagai senjata. Kau sedikit menghela nafas lega, adrenalin tidak lagi mendidih macam tadi.

Jam menunjukkan jam dua belas dua belas minit tengah malam. Setelah berfikir balik, rancangan yang paling terbaik adalah balik ke bilik hotel dan membancuh kopi yang kedua, dan mencuci semula cawan yang berbau sabun tadi dan tak perlu tertanya tentang perempuan ber-dress merah yang membersihkan anak tekaknya sambil nak muntah.

Atau, selain daripada mengelilingi kota pada tengah malam ini, atau membancuh kopi yang kedua, kau memilih untuk menjalani kehidupan yang paling biasa, tidur.

This entry was posted in: Adventura, Fiksyen

by

s.k, tidak mempunyai cita-cita tinggi. Sekalipun ada, dia tidak akan menulisnya di laman sesawang atau memberitahu kamu. Beliau sukar diramal, seperti tulisan-tulisannya. Pernah katanya, waktu cerek air di atas dapur, jika kamu rasa cerita selepasnya adalah air cerek itu dituang ke mana-mana, ramalan kamu seperti bulu pelepah di atas pagar. Terlalu selesa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s