Adventura, Bahasa, Fiksyen
Leave a Comment

Bagaimana Majnun Menjadi Mistik

Ada seorang guru mistik. Kehebatannya tersebar di serata tempat sampai anak muridnya terlalu ramai. Malah, ada khabar angin mengatakan, sultan dan panglima perang terhebat dunia berguru dengannya. Tapi, itu khabar angin. Hebatnya dia, sampai ada lagi khabar angin mengatakan bahawa bila dia berjalan, bekas tapak kakinya langsung tidak kelihatan. Menurut murid-muridnya, untuk mengelakkan dirinya daripada diikuti syaitan. Ada juga khabar angin mengatakan bahawa, dia boleh ramal masa depan dan menghidupkan yang sudah mati. Akibat terlalu banyak sangat khabar angin tentang guru ini, maka sampailah di telinganya akan semua khabar angin tersebut.

Dia, seperti kebanyakan guru mistik, tidak membabi buta mencari siapa yang menyebarkan khabar angin itu semua. Baginya, ini semua ujian daripada Tuhan. Dia rasa dirinya sangat naif merasa diri hebat disebabkan memiliki ramai anak murid.

Suatu hari, dia terdengar anak muridnya bercerita tentang seorang lelaki gila di bandar sebelah. Si guru, mendapat akal.

Dia himpunkan kesemua anak muridnya dari serata tempat kerana mahu membuat satu pengumuman sambil-sambil membuat kelas pengajian. Datanglah beribu-ribu anak muridnya dari berbilang bangsa dan darjat keturunan. Si kaya, miskin, kerabat di raja, ketua syarikat gergasi, semua mereka duduk sebaris menghadap si guru.

“Sudah lama kita tidak berhimpun sebegini,” dia mulakan kelas, rautnya terharu. Seperti guru-guru mistik yang lain, dia memberikan nasihat dan ilmu kepada mereka semua. Anak-anak muridnya gembira kerana aura guru mereka hari ini lain daripada yang lain. Hampir tiga jam mereka mendengar ceramahnya tanpa rasa lenguh dan penat. Malah, tidak puas.

Di akhir kelas, si guru membuat pengumuman; dia akan ke bandar sebelah dan berguru dengan si gila yang anak muridnya cerita-ceritakan. Dan siapa yang mahu ikut, ikut, yang tidak mahu, boleh balik. Mendengar pengumumannya itu, anak muridnya semua terkejut dan rasa tidak puas hati. Apa tidak, seorang guru mistik masyhur tidak layak berguru dengan orang gila. Ini kerja gila. Anak-anak muridnya mulai bising dan kecewa. Ada yang memaki hamun dan terus meninggalkan kelas. Ada juga yang menuduh guru mereka sudah gila. Ada juga yang mahu memukul. Sehingga satu persatu anak muridnya pergi. Hanya yang tinggal, seorang saja. Si tukang sapu yang memang kerjanya di situ. Dia bukanlah anak murid guru mistik itu, cuma, dia duduk ikut dengar saja. Jadi, tanpa mengetahui apa-apa, dia tidak berani dan berhak menuduh apa-apa kepada guru mistik tersebut.

Melihat kelasnya kosong, air mata si guru mengalir deras. Ternyata, tiada seorang pun anak muridnya yang ikhlas selama ini. Maka benarlah, dia ada melakukan kesilapan kepada Tuhan. Barangkali inilah balasannya. Dia akur, dan menjemput si tukang sapu untuk duduk di sisinya.

“Siapa namamu, wahai saudara?”
“Majnun.”

Ketawa si guru. Bila ditanya asalnya, Majnun geleng kepala, katanya dia tidak tahu. Bila ditanya siapa ibu dan ayahnya, sama juga jawapannya, tidak tahu, bila ditanya, siapa aku (merujuk kepada si guru), jawabnya juga tidak tahu. Banyak soalan yang ditanya, tapi semua dia tidak tahu.

Akhirnya, si guru bertanya, “Di manakah cinta?”

Majnun jeda. Dan menunduk dan air matanya mengalir. Teresak-esak dia menjawab tidak tahu. Berulang-ulang dia meminta maaf kerana tidak tahu apa-apa melainkan namanya sendiri. Dia merasakan dirinya bodoh dan dungu berbanding anak-anak murid si guru yang lain.

Si guru memujuk Majnun sehingga akhirnya dia berhenti menangis.

“Majnun, berbanding kau dengan beribu-ribu anak murid aku, kau lah yang terbaik. Kerana, bila kau tidak tahu, kau sedang membenarkan diri kau untuk membuka peluang dan kesempatan kepada seluruh ilmu yang ada di dunia malah di setiap pelosok dan ceruk galaksi dan dimensi yang lain. Tidak tahu, itu jawapan yang paling ikhlas sekali.”

This entry was posted in: Adventura, Bahasa, Fiksyen

by

Saya seorang yang bosan dan pemalas--menulis bukanlah benda yang paling mudah bagi saya. Ada kalanya saya sering tergoda untuk baring seharian pada hari Ahad sambil menikmati filem-filem lazat sajian Hollywood berbanding menulis tentang anak matahari yang merindui pelangi. Begitu lah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s