Adventura, Fiksyen
Leave a Comment

Falsafah Penggali Kubur

Pak cik Nang orangnya baik hati dan dihormati di seluruh kampung. Walaupun, dia bukan ketua kampung, ataupun imam besar apatah lagi tidak memegang apa-apa jawatan dalam pentadbiran atau politik kampung. Namun, orang kampung tetap akan mencarinya apabila kejadian paling tragis menimpa diri mereka, iaitu kematian. Sebab, kerja Pak cik Nang ni, tiada orang kampung lain yang mahu buat, erti kata lain, nafi terus mahu buat. Ya lah, pernah dengar pepatah, kerja penggali kubur ni, bawa malang kepada diri sendiri dan keluarga. Begitulah.

Sudah bergenerasi keluarga Pak cik Nang jadi penggali kubur. Mulanya dari zaman moyangnya, waktu tu kan perang, jadi istilah penggali kubur belum lagi ada, yang ada hanya panggilan orang yang menggali kubur. Sebab waktu tu, kerja gali kubur bukanlah karier. Tapi, tanggungjawab. Lain pula waktu zaman datuknya, orang yang kerjanya menggali kubur, secara langsung akan menjaga kubur juga. Nah, sejak dari situlah wujudnya karier penggali kubur yang juga merangkap penjaga kubur. Bergaji juga, elaun, bolehlah cukup-cukup makan. Sebab kerjanya bukan susah, lebih kurang macam kerja pengawal keselamatan juga–on call 24/7, 365. Bila ada orang meninggal, kerja. Bila ada budak-budak bangang yang mahu buat upacara sesat di kubur, kejar dengan parang. Itu saja.

Masalahnya, anak Pak cik Nang dua orang ni, tidak mahu meneruskan legasinya. Masing-masing sudah terpedaya dengan filem-filem mengarut di TV. Lagi-lagi status dan twit di media sosial yang merendahkan kaum lelaki—kalau lelaki tidak berkerjaya, tiada perempuan yang mahu bernikah dengan mereka. Sampaikan anak sulung Pak cik Nang hampir nekad mahu melarikan diri dari rumah untuk ke bandar demi mencari pekerjaan.

Terpaksalah mereka berdua bekerja di kampung. Nazim, si sulung sebagai penoreh getah, dengan harapan suatu hari nanti, harga getah akan naik seperti tahun-tahun dahulu, dan dia mampu menjadi jutawan getah. Kamidin, si anak kedua sebagai nelayan, juga dengan harapan, kerajaan akan menaikkan elaun sara diri untuk para nelayan. Begitulah.

Suatu hari, Pak cik Nang awal pagi lagi sudah bangun dan bersiap-siap membawa perkakas yang digunakan untuk kerja menggali kubur. Si dua beradik hairan dengan gelagat ayah mereka sedangkan, tiada perkhabaran kematian di kampung. Ya lah, siapa yang akan terlepas kalau ada kematian di kampung kecil itu. Sebab, kebiasaannya, mereka akan berkumpul beramai-ramai di masjid untuk baca Yassin, lagipun kan kampung kecil, sudah pasti berita akan tersebar dengan pantas. Malah, bila ditanya si ibu, dia hanya diam sambil menggeleng kepalanya. Tambah curigalah dua beradik ni.

Mungkin semalam abah dapat khabar kematian dari mimpi atau dia sebenarnya sudah nyanyuk. Demikianlah perbincangan dua beradik tersebut dalam perjalanan mengikuti ayah mereka dari belakang.

Sesampai di kubur, Pak cik Nang terus menggali tanpa penjelasan apa-apa. Begitu juga dengan si dua beradik, tanpa disoal, terus membantu. Sehinggalah kerja mereka selesai dan si ayah menjemput mereka untuk duduk di pondok.

“Nak, kerja ni, kerja mulia, bukan kerja dilaknat. Aku mau khabar nasihat yang ayah aku bagi dekat aku sama kamu. Dengar ni,” Pak cik Nang membakar rokok gulung sebelum menyambung.

“Kita manusia, asalnya dari tanah, maka akan kembali ke tanah juga. Setiap yang kita makan, kita minum, semuanya dari tanah, semuanya ada hubung kaitnya dengan tanah. Tanah ni juga tempat kita pijak hari-hari. Tanah ni juga tempat kita mencari nafkah, tanah ni juga…” dia terhenti, membakar rokoknya lagi, “…di mana kita akan dikubur nanti. Sebab tu, orang yang kerjanya rapat dengan tanah, kerja mulia. Bukan aku marah waktu kamu tidak mau kerja macam aku, kerja kamu juga mulia. Dua-duanya rapat dengan alam. Alam ni lah yang mendewasakan kita. Alam ni lah juga yang kalau hilang, kita akan tangisi. Jadi, kamu berdua, janganlah jauh dari alam. Ya?”

Mereka berdua diam. Sebab, Pak cik Nang belum lagi menjelaskan tentang kubur yang baru digali tadi. Air muka ayah mereka seperti puas tentang sesuatu, tapi tentang apa, mereka masih tidak tahu.

“Marilah balik, aku mau rehat, esok mau balik kampung.” Mendengar itu, makin pelik dua beradik dengan ayah mereka.

Tapi, apa yang peliknya, malam itu, Pak cik Nang meninggal di dalam tidurnya. Dan dia tidak perlu lagi bersusah-susah memikirkan siapalah yang akan menggali kuburnya sendiri.

This entry was posted in: Adventura, Fiksyen

by

Saya seorang yang bosan dan pemalas--menulis bukanlah benda yang paling mudah bagi saya. Ada kalanya saya sering tergoda untuk baring seharian pada hari Ahad sambil menikmati filem-filem lazat sajian Hollywood berbanding menulis tentang anak matahari yang merindui pelangi. Begitu lah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s