Adventura, Fiksyen
Leave a Comment

Babi yang Syahid

Biasanya, petang-petang begini, tok imam akan duduk depan rumah, menghirup kopi dan menjamah cucur udang buatan isterinya. Tapi memandangkan isterinya sibuk melayan kerenah anak dorang, jadi, terpaksalah dia makan pisang goreng yang dorang beli tadi petang di pasar. Tidak seberapa enak.

Rumah tok imam dengan masjid berjarak tiga puluh langkah saja. Maklumlah, jadi tok imam ni ada kelebihannya sikit. Mungkin untuk motivasi juga. Orang kuat agama ni kena tinggal dekat dengan masjid atau pusat ibadah. Barangkali itulah yang bermain di kepala pemaju masjid ni dulu. Eloklah juga, kalau tok imam tinggal jauh, susah. Sedangkan sekarang, mahu menyewa bilik sewa saja pun, sudah mencecah ratusan ringgit. Inikan pula tok imam yang sudah berkeluarga. Eloklah juga bekerja sebagai tok imam, rumah disediakan, elaun diberi, tinggal kutip saja. Mungkin itu juga dalam kepala tok imam waktu dia masih muda dulu. Yalah, siapa sangka, jadi imam ni boleh dibuat kerjaya. Pernah kau dengar budak sekolah bila kena tanya cita-cita, mahu jadi tok imam? Atau, pernah kau tengok di buku biodata yang saling berpindah tangan keliling kelas sampai hilang tu, tulis di bahagian cita-cita, mahu jadi tok imam? Tiada.

Tapi hari ni, tok imam rasa tidak senang. Dua sebab kenapa, satu, sebab pisang goreng tadi mungkin terlalu berminyak sampai buat perut dia rasa mual. Dua, masjid luas ni, hanya sekerat saja yang datang. Itu pun, muka-muka yang sama. Sambil-sambil dia duduk di saf paling hadapan, kepala dan perut dia saling berperang dengan tubuh badannya. Susah mahu berzikir dalam keadaan macam ni.

Tinggalkan biji tasbih. Bergegas dia ke tandas, mahu buang air besar.

Dalam perjalanan dia ke tandas, dia hampir tergelincir sebab lantai tandas yang licin.

“Babi!”

Perkataan itu keluar daripada mulutnya tanpa sengaja. Dan dalam keadaan itu, dia bertukar menjadi seekor babi. Dia panik. Yalah, siapa yang tidak panik kalau jadi tiba-tiba jadi babi. Kalau jadi bayi, barangkali, panik itu akan berunsur hilang dalam beberapa lama. Tapi, ini jadi babi. Aduh.

Meronta-ronta lah si tok imam ke hulu ke hilir tidak tahu mahu ke mana. Jadi dia terfikir, mungkin ada para jemaah yang boleh membantu.

Bergegas dia masuk ke dalam masjid, meluru ke arah para jemaah yang sedang duduk berehat. Apa lagi, terkejut beruklah dorang semua. Yalah, babi masuk dalam masjid. Ini perkara yang tidak pernah berlaku dan di luar norma kehidupan.

Berlarian mereka semua keluar dari masjid, tapi tok imam, masih lagi mengejar mereka. Memekik-pekik minta tolong. Tapi, komunikasi di antara dia dengan para jemaah itu lebih teruk daripada komunikasi di antara ayam dan itik. Begitulah.

Tok imam semakin panik dan risau. Dia berhenti di ruang masjid. Mahu menangis mahu menjerit, tapi belum sempat dia buat apa-apa, kepalanya dihentak oleh suatu objek keras dan menyebabkan dia pengsan serta-merta.

Apabila tok imam tersedar, dia masih lagi seekor babi. Tangan dan kakinya diikat kencang dan dia sedang berbaring dikelilingi oleh lautan manusia yang tidak seorang pun dia kenali. Wajah-wajah mereka bengis dan ada yang memaki hamun ke arahnya. Dia terdengar suara di khalayak, “Tok imam hilang!” kata suara itu. Dia cuba menyahut. Tapi apakan daya, apa yang keluar daripada mulutnya langsung tidak difahami oleh mereka.

“Kita bunuh saja haiwan hina ini!”
“Kita humban saja ke hutan,”
“Dia juga haiwan, ciptaan Tuhan.”
“Haiwan ni sudah mencemarkan kesucian agama Islam!”
“Akhir zaman! Akhir zaman! Akhir zaman! Dajal sudah datang!”

Dalam keadaan itu, tok imam sudah putus harapan. Sudah tiada apa-apa yang dia boleh lakukan. Dia redha dengan segala ketentuan Tuhan kepada dirinya. Mungkin Tuhan mahu tunjukkan betapa kejinya manusia berbanding seekor babi. Dia berdoa kepada Tuhan agar keluarganya dipelihara dari apa-apa bentuk musibah.

Tidak lama kemudian, sepucuk senapang tepat diletakkan di kepalanya. Dari jauh, dia lihat keluarganya menatap dia dengan penuh kehinaan. Tok imam menutup mata, mungkin dia patut melatah dengan perkataan Tuhan sebentar tadi, tengok apa kejadiannya. Tapi semua sudah terlambat, senapang dipacu dan dia berharap, dia menjadi syahid.

This entry was posted in: Adventura, Fiksyen

by

Saya seorang yang bosan dan pemalas--menulis bukanlah benda yang paling mudah bagi saya. Ada kalanya saya sering tergoda untuk baring seharian pada hari Ahad sambil menikmati filem-filem lazat sajian Hollywood berbanding menulis tentang anak matahari yang merindui pelangi. Begitu lah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s