Adventura, Fiksyen
Leave a Comment

Mitos Kesempatan Kedua

Ahad itu Maya bertemu dengannya waktu membeli bunga ros. Agak puitis bila seorang gadis ayu jatuh hati dengan si penjual bunga. Bukan klise atau poyo. Tapi puitis. Macam filem Hindustan atau kisah noir Eropah–puitis. Cinta itu mudah dan murah, bagi Maya. Mungkin sebab dia sudah lama tidak berkasih. Atau memang begitulah gayanya. Macam mana tidak, hanya disebabkan nama Maya itu sedap digabungkan dengan ros, jadi Rosmaya, hatinya langsung ternoda dengan kata-kata manis si penjual bunga. Lantas, bertukar nombor telefon dan senyuman mesra.

Belvin, namanya si penjual bunga. Agak lucu menurut Maya, eh, Rosmaya, kenapa bukan Melvin, atau Calvin atau Kelvin saja? Ini sudah macam jenama kunci mangga pun ada. Itu antara jenaka yang menghiasi malam mereka. Ah, biasa, mabuk percintaan. Macam kita tidak pernah alaminya, kan? Begitulah.

Hari-hari berikut seperti lagu musim bunga buat Rosmaya, tiada yang mampu menjahanamkan harinya walaupun tatkala ditengking bos, dia tetap senyum dan terus mengadu kepada Belvin diiringi suara-suara manja sehingga larut malam. Ah, biasa, macam kita tidak pernah alami, kan?

Belvin pula senang melayan karenah Rosmaya, lagipun dia hanya lepak di rumah kerana dia cuma menjual bunga di hujung minggu. Adakalanya, dia akan membantu ibunya menyiram bunga, itu pun, kalau hari tidak hujan. Jadi, masanya banyak diluangkan untuk Rosmaya. Dan Rosmaya, seperti perempuan-perempuan lain, tambah gembira dan bahagia. Ya lah, mereka semua macam kucing, perhatian total harus diberi. Kadang-kadang, boleh bersaing dengan Tuhan.

Malam itu, ketika mereka bergayut di telefon, Rosmaya katanya sangat rindu mahu bertemu dengan Belvin, sungguh-sungguh dia pujuk Belvin supaya bersetuju untuk bertemu janji dengannya pada hari Sabtu ini. Belvin pula, malu-malu, katanya sudah lama dia tidak bertemu janji dengan perempuan, apatah lagi dengan yang cantik dan ayu macam Rosmaya. Maka, mencanak-canak perasaan Rosmaya apabila dipuji sedemikian rupa. Makin kuat dia memujuk Belvin. Jadi, mahu tidak mahu, Belvin bersetuju. Sebenarnya, Belvin sengaja mahu mendengar suara pujukan Rosmaya. Ah, demikianlah dua sejoli yang baru saja bersama, kan?

Hari Sabtu sudah tiba, cantiknya Rosmaya mengalahkan bunga-bunga yang dijual oleh Belvin. Dan Belvin nampak lebih segak. Tidak kelihatan seperti seorang penjual bunga, tapi seperti hero-hero kasanova di kaca TV. Malah, busana yang dipakai oleh Belvin juga, dipilih oleh Rosmaya semalam sewaktu video call.

Gembira sungguh mereka berdua, ke mana saja berpimpin tangan. Yang tua gembira dan cemburu kepada pasangan muda yang hangat bercinta. Yang masih tidak berpunya, lagilah. Biasalah, kan? Macam kau tidak pernah jadi begitu.

Tengah hari, Rosmaya ajak ke taman bunga, katanya, dia ada masak untuk mereka berdua. Tambahnya, ia makanan kegemaran Belvin. Sedangkan, Belvin pun tidak tahu apa makanan kegemarannya. Yang dia tahu, makanan bukan kegemarannya, iaitu labu. Apa-apa saja yang berkaitan dengan labu dia tidak suka. Kecuali Halloween.

Nah, Rosmaya masakkan sup labu. Melihatnya saja, Belvin sudah mahu muntah. Apa lagi mahu menjamahnya. Rosmaya dengan manja mahu menyuapkan labu kepada Belvin tapi ditolak. Muka Rosmaya berubah. Dia tanya kenapa? Bukankah ini makanan kegemaran Belvin? Belvin menafikan. Tidak pernah dia kata itu makanan kegemarannya, malah labu ialah makanan kebenciannya. Mungkin Rosmaya ingat Belvin sedang berjenaka bila dia cabar Rosmaya masakkan dia labu. Biasalah, orang bercinta, tahi pun wangi.

Mereka bergaduh besar gara-gara labu. Sampai satu tahap, Rosmaya menyumpah Belvin supaya menjadi labu dan mati dimakan tikus. Rosmaya menumpahkan sup labu ke badan Belvin dan secara langsung, mereka berpisah.

Esoknya, dengan hati yang suram, Maya ke pasar untuk membeli labu. Tidak disangka, lelaki yang menjual labu sangat baik hati kerana memuji pakaian Maya yang lawa seperti orangnya. Sejak dari hari itu, mereka berhubung dan Maya berharap, lelaki ni suka makan labu.

This entry was posted in: Adventura, Fiksyen

by

Saya seorang yang bosan dan pemalas--menulis bukanlah benda yang paling mudah bagi saya. Ada kalanya saya sering tergoda untuk baring seharian pada hari Ahad sambil menikmati filem-filem lazat sajian Hollywood berbanding menulis tentang anak matahari yang merindui pelangi. Begitu lah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s