Adventura, Fiksyen
Leave a Comment

Mitos Sebuah Perjuangan

Sebenarnya, pagi sebegini engkaulah insan paling sibuk di dunia. Bagi engkau, definisi sibuk itu subjektif. Tidak terhad kepada kegiatan produktif. Menghabiskan masa berbaring sambil menonton filem yang sudah engkau tonton berkali-kali, atau mendengar lagu jiwang di YouTube sebelum ke tandas dan berimaginasi tentang masa depan bersama seorang gadis yang engkau tahu tiada masa depan bersamanya. Atau lebih baik lagi, baring dan menunggu mata dibuai sehingga lena dan membawa gadis tadi berkejar-kejaran di atas bukit sambil berketawa.

Tapi bagaimana mahu berkhayal sekiranya naga-naga di dalam perut meraung marah kerana belum diberi makan. Mungkin begini rasanya mengandung. Engkau rasa. Agak lucu juga sebenarnya kenyataan itu muncul daripada mulut engkau. Mana mungkin lelaki boleh merasai peritnya mengandung sembilan bulan sepuluh hari. Lelaki hanya boleh diam dan berpura-pura prihatin sedang perempuanlah menanggung semuanya. Dan perkara itu buat engkau rasa bersalah mengucapkan tahniah kepada rakan lelaki engkau setelah mendapat khabar bahawa isterinya mengandung. Mungkin engkau sepatutnya memuji kemaluannya kerana berfungsi waktu senggama. Atau, sebaliknya. Itupun kalau engkau bersedia ditampar oleh isterinya, atau lebih teruk lagi, putus ikatan persahabatan.

Engkau teringat ceramah kawan engkau semalam. Ternyata otak engkau lebih mementingkan memori semalam berbanding imaginasi kurang sopan engkau bersama gadis khayalan tadi. Wajahnya yang kurang tampan itu sangat tidak seragam dengan tubuh badannya yang sado. Barangkali, cinta itu buta, kerana menurut kawan engkau, disebabkan gaya hidupnya yang sihat, ramai perempuan mahu mendekatinya. Ah, mungkin nanti, kalau dia sudah kahwin, dia lah orang pertama yang engkau akan puji kemaluannya.

Tapi itu tidak penting, yang penting, ceramahnya lebih berkisar kepada kehidupan yang lebih sihat ketika usia sudah mencecah 30an. Tentang kita harus merombak seratus peratus gaya hidup kita. Bangun awal pagi di hujung minggu misalnya, adalah satu langkah yang harus diutamakan. Selain dari mengisi peti ais dengan makanan yang sihat, menggunakan produk kesihatan yang organik dan yang paling penting, kurangkan melancap.

“Kita semua sudah ditipu bulat-bulat oleh kuasa-kuasa besar perniagaan. Sampai bila kita mahu ditindas? Mau tunggu nyawa di hujung tanduk baru mau makan sihat-sihat? Atau bila malaikat sudah tiup sangkakala baru mau bertindak?” katanya sambil menutup hidung. Kerana engkau di depannya sedang merokok.

“Tengok macam nenek moyang kita, semuanya sihat-sihat belaka. Ada yang usia mereka mencecah dekat seratus tahun. Kau tau sebab apa? Sebab dorang makan makanan yang sihat-sihat. Makanan kita sekarang sudah tidak sihat. Semuanya hasil uji kaji makmal. Tengok ayam kau tu, artifisial.”

Engkau hanya diam mendengar kata-katanya. Ada benarnya juga. Dua minggu lepas engkau pernah mendengar ceramah agama tentang kemerosotan ilmu adalah berpunca daripada makanan yang tidak sihat. Dan jika kita tidak mengubah cara hidup kita, otak kita akan menjadi tumpul. Sebab itu, orang-orang alim, mengamalkan diet yang membolehkan otak mereka lebih cerdas.

Engkau sedar yang engkau tahu akan semua ini. Semuanya ada dalam minda luar sedar engkau yang sebelum ini engkau mampu tapis seperti menggunakan penapis air berjenama mahal dan sering dijadikan modal MLM. Kata-kata kawan engkau itu seperti sebuah wahyu yang sahih dan nyata. Seperti sebuah tamparan yang lebih hebat daripada tamparan malaikat dan perempuan yang pernah engkau tuduh sebagai pelacur sebab pakaiannya terdedah.

Engkau bangun dan mandi, seperti ada bunyi paluan gong perang memberikan semangat untuk engkau berubah. Imaginasi gadis di atas bukit tadi sudah hilang ditiup puting beliung, dan buat pertama kalinya dalam hidup engkau, engkau berjaya menahan nafsu ketika mandi. Dalam kepala engkau hanya satu–UBAH.

Engkau ke pasar, berdiri di tengah-tengah keramaian tanpa mempedulikan mereka. Ada yang cuba menegur engkau, ada juga yang lari ketakutan. Engkau membakar diri dan berlari sambil melanggar warung-warung makan yang menjual ayam-ayam mentah. Ada yang cedera akibat tempias api, ada juga yang sempat lari untuk menyelamatkan diri. Engkau yakin tindakan engkau adalah benar dan kematian engkau akan menyedarkan orang ramai akan masalah yang sedang membelenggu kehidupan masyarakat.

Tapi engkau silap, engkau disiram dengan air sehingga api padam. Dan dibelasah teruk oleh para peniaga pasar malam. Engkau menyesal. Sepatutnya, engkau bawa kawan engkau semalam. mungkin dia ada ide yang lebih baik daripada ini.

This entry was posted in: Adventura, Fiksyen

by

Saya seorang yang bosan dan pemalas--menulis bukanlah benda yang paling mudah bagi saya. Ada kalanya saya sering tergoda untuk baring seharian pada hari Ahad sambil menikmati filem-filem lazat sajian Hollywood berbanding menulis tentang anak matahari yang merindui pelangi. Begitu lah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s