Adventura, Fiksyen
Leave a Comment

Insta

Seperti seorang kekasih, ada hari, ketika Edit membuka buku, dan dingin yang memasuki dari celah jendelanya membuat kulitnya rasa selesa, lembut. Hujan, rintik-rintik, dan buku, seorang kekasih, seperti biasa sentiasa akan menghangatkan kakinya seperti sehelai selimut. Itu yang dia mahukan. Itu yang dia tulis ketika lagu Chill sedang bermain, di Insta, lewat kepsyen pendek yang bertajuk “SYS” – See You Soon bergambar pensil 2B bertaris dan buku nota kulit yang rabak di atas meja, dengan meninggikan sedikit ketajamannya kepada 80%. Lima belas minit kemudian, Edit membuka kembali Instanya, mengharap sesuatu akan berlaku–lebih tepat, Sarah, menekan punat hati di gambarnya dan meletakkan komen yang positif; lidah awak puitis dan saya suka, atau ajarkan saya tentang puisi, sesuatu seperti itu.

Hari-hari Edit menjenguk Insta Sarah; seorang yang fotogenik, tidak kira di mana dia bergambar akan kelihatan flawless, bibirnya berbentuk hati, kontek lens warna kelabu, dan tudung yang bertukar-tukar cara. Ah, kata Edit dalam hati, mustahil perempuan berpengikut puluhan ribu itu akan menyukai gambarnya. Dan Sarah, dengan meletakkan komen kepada gambar yang hanya mempunyai lima like saja adalah sebuah mitos.

Namun seperti pasang surut, di dalam tulisan Homer, cerita dewa-dewi, membuatkan mana-mana pemikiran yang mustahil tidak membuang waktu untuk berubah menjadi tidak mustahil. Jadi tiap hari dengan bajet Neruda, Edit meletakkan kepsyen-kepsyen puitis seperti melepaskan burung merpati keluar dari jendelanya.

Hari Sabtu, cuti. Seperti hari-hari lain, Edit tahu, setiap malam jam lapan, Sarah akan memuatnaik gambar barunya (kerana jam-jam begitulah pengikutnya aktif). Kadang-kadang gambar saja, tanpa meletakkan apa-apa kepsyen. Dan bagi Edit, jika itu orang lain, kombinasinya adalah sesuatu yang mematikan seni. Namun untuk Sarah, tidak. Sebab antara pixel-pixel dalam gambar Sarah tersembunyi penyanyi soprano, yang setiapnya bernyanyi kod-kod sederhana dan jika dikumpulkan, mereka adalah orkestra, tap tap tap kata Sufian, menyanyikan lagu hujan. Dan Edit, pasti menekan punat hati di gambar Sarah.

Menekan punat hati di setiap satu gambar Sarah, tidak lepas.

Kerana itulah yang membuatkannya gembira; di setiap gambar Sarah, hatinya merah walaupun dia tahu di sebelah sana, Sarah, jika memasuki profilnya, akan terlihat setiap hati dalam gambar-gambarnya putih dan seperti yang dia mahu, Sarahlah yang mewarnainya.

Di bawah belas kasihan algoritma, antara Jayson, XiiMeimei, dan 460 yang lain yang menyukai gambar Sarah, Edit berada di antara angka-angka itu. Dan setiap kali notifikasi Sarah berbunyi, sambil menyemak garis masa Instanya, Edit tak pernah wujud.

This entry was posted in: Adventura, Fiksyen

by

s.k, tidak mempunyai cita-cita tinggi. Sekalipun ada, dia tidak akan menulisnya di laman sesawang atau memberitahu kamu. Beliau sukar diramal, seperti tulisan-tulisannya. Pernah katanya, waktu cerek air di atas dapur, jika kamu rasa cerita selepasnya adalah air cerek itu dituang ke mana-mana, ramalan kamu seperti bulu pelepah di atas pagar. Terlalu selesa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s