All posts filed under: Fiksyen

Jangka Masa IV

Apa idea yang berlari-lari di kepala kita bila kita berpisah? Dia mengetap bibir. Kedai ini penuh dengan ketawa, sudu dan garfu berlaga, seperti kita sedang dalam peperangan. Dan sewaktu dia menyatakan sesuatu, aku harap bunyi-bunyi itu menelan suaranya hingga yang tinggal hanyalah diri dia yang dahulu. Ada kucing sedang menyondol kepala di kakiku, dan aku biarkan sahaja. Aku nak beritahu dia ini simbolik–kucing itu dia yang dahulu, tapi bukan di kaki, selalunya dia di bahu, ketika kami duduk menemani matahari balik ke rumah. Dia tunduk, tangannya menongkat di meja dan menutup matanya. Aku dengar esakan kecil, dan apa pilihan yang saya ada, tuan puan, jika seseorang itu meminta belas kasih, tapi nak lari dari kita? “…………………………………………………………………………………………………………………………………………………,” titik infiniti seperti bunyi monitor jantung mengisytiharkan seseorang mati, atau, meninggal la engkau. “It was good while it lasted, ya?” atau ini. Ini yang paling sopan untuk balas esakannya. Mungkin lepas ini, aku balik rumah dan ambil tugas dia membuka butang bajuku, ambil bir dan duduk di sofa dan menangis sebab Netflix tayang filem yang macam jahanam malam itu.

Jangka Masa III

Aku ingat bila dia lupa sesuatu. Kalau benda tu penting, kami akan patah balik ke rumah. Kalau tak, katanya itu sejenis sifat dan jangan marah. Dia pernah cerita pasal lupa–katanya, satu hari, Netch lupa untuk memakai tali leher padahal hari itu diwajibkan pakai di pejabatnya. Netch boleh pertimbangkannya dengan membeli baru. Tapi tali leher yang selalu Netch guna–yang tinggal di rumah itu mempunyai nilai sentimental–dihadiahkan oleh bakal kekasihya. Netch melihat jam, dan tentulah Netch akan lambat, tapi Netch tetap juga mengambilnya. Setelah mengambil tali leher, Netch bergegas ke pejabat, namun sebelum sempat menaiki kereta, ada panggilan masuk dari kawan sekerja, bertanya sama ada Netch ok, sebab lorong bawah tanah yang digunakan Netch ke pejabat runtuh. Jadi, lupa itu bersebab. Semuanya dalam perancangan katanya. Tapi, kalau Netch jalan terus sahaja dan terlupa bahawa perlu memakai tali leher, adakah Netch akan terbabit dengan kemalangan itu, atau bagaimana kalau Netch terus jalan dan tidak apa-apa dan beli tali leher baru dan segalanya ok pada hari itu. Tentu sekarang, dia tak lupa aku.

Jangka Masa II

Aku ke taman tema. Di sini, pertama kali kita bercumbu, dan waktu itu aku ada X. X ada hubungan dengan aku, dia isytihar begitu tapi aku dari dulu tak rasa apa-apa pun. X tak suka ke taman tema. Dia suka romantik, wangi lilin dan lampu kelip-kelip–ketika bersetubuh contohnya. Taman tema ini penuh dengan manusia mati yang mahu gembira, katanya. Tak, itu sarkas aku kata. Jadi, itulah sebab aku tak bawa kau ke sarkas. Kau suka sarkas, aku tahu. Kau suka tengok tikus pakai topi duduk atas kepala singa macam dia bos. Kau suka tengok ayam berlaga dan pengadilnya orang tua dengan bir. Kau suka Lyon, dia angkuh bila terbang ke udara lalu disambut oleh rakannya yang selalu pura-pura mahu jatuh. Kau suka cabaran, bukan macam X. Tapi, aku lebih suka tempat yang ok, macam taman tema. Semuanya ok. Sekarang aku duduk di tempat dulu hati kita membina rasa. Aku tengok bintang, dan aku tengok abstrak. Tapi tidak bila kau di sini. Bintang nampak tersusun bila kau jelaskan semuanya. Malam ni bintang ok, tapi tak nampak …

Jangka Masa I

Kucing ke sana, kucing ke sini. Kucing ke sana lagi, kucing ke sini lagi. Lalu dia tangkap rama-rama violet. Rama-rama datang sebab petanda–satu, ada orang besar nak datang ke rumah, kedua, tak penting, sebab sudah lewat dua minggu aku tunggu kau tengok Summer. Adakah ini petanda yang aku harus nikmati dengan kopi, orang besar? Besar, bagiku bukan macam benda yang kau nampak, kau teruja dan kau nak selalu, atau besar bukanlah setompok tahi lalat di bibir Mak Teh yang menganggu hubungan mata kami bila berbicara. Besar–bagiku, cukup seperti kopi ini. Walaupun hitam, kehadirannya menyetubuhi kehidupanku dari dalam dan diam-diam. Atau besar, macam kau, partie de ma vie. Aku mahu, bila kau buka pintu nanti, kau lihat Summer bermain dengan bebola, tengok saiz perutnya, raba dan tepuk-tepuk. Sesame tunggu kau, dia tak nak aku, macam fig, lemon balm, spinach, bunga pukul sembilan, halia, oregano, air plant sekalipun, dan tanaman-tanaman lain–terus siram dan jangan lupa aku. Summer di sana, Summer di sini, Summer di sana, lalu Summer tangkap rama-rama. Summer makan rama-rama dan mulutnya warna ungu. Aku lupa …

Rinai Hujan

Hujan masih lagi ada di luar. Faiq, melihat hujan, katanya, memang tak ada kaitan dengan tangisan. Faiq berdehem. Di kedai kopi yang terletak di tengah-tengah kota ini, ada seorang perempuan yang nak sangat mengelak berjumpa dengannya. Tapi perempuan itu segera sedar bahawa idea itu sangat-sangat tak guna kerana dia hanyalah pelayan yang hot di kedai itu, dan Faiq adalah pelanggan tetap. “Roses are red, violets are blue,” tulisan Faiq di atas tisu yang entah ke berapa kali dihantar kepada Ros. Ros memang menyala, dari rambut ke hujung siku, semua kemerah-merahan. Mungkin label hot yang diberi itu bukan dari segi payudara mengancam atau pun susuk tubuh violin wannabe. Tapi ada satu yang Ros suka dengan Faiq. Dia kelihatan bijak dalam sastera dan berkata-kata, walaupun segalanya kedengaran tidak logik. Ada satu masa ketika hujan, dan pelanggan hanya dua tiga kerat saja, kebetulan Ros sedang mengelap cermin kedai, Faiq membebel sendiri tentang hujan. Manalah kita tidak dengar sesuatu bebelan ketika orang itu membebel dengan kuat dan kita hanya berjarak sejengkal dengannya, bukan? Melihat hujan, katanya, memang tak ada kaitan …

Jangka Masa(?)

Kadang-kadang, bila dia suruh aku buat pilihan, agak berat untuk aku merasakan bahawa itu bukan beban. Hari tu dia tanya, kalau boleh pelihara seekor kucing nanti, kita beri namanya Summer, sempena watak favoritenya dalam 500 Days of Summer. Kita belikan dia bebola tali, dan kita, sambil duduk di sofa, melihat tingkah laku naif dan comel kucing itu dengan bebolanya. Mesti seronok katanya. Kita beri dia makan biar dia gemuk, latih dia jadi vegetarian dan berak di tandas, latih dia untuk jadi alarm, bangunkan kita ke kerja. Lepas kerja kita pulang dan peluk dia, buat dia macam anak kita sendiri, dan kalau boleh, ambil satu lagi kucing untuk temankan Summer, kita namakannya Tom, supaya mereka berdua boleh bermesra dan mengawan satu hari nanti, dan anak-anaknya pasti gebu macam kapas, jadi Summer tak sunyi. Dia ada pasangan dan ada anak sekali, boleh tak, katanya. Tapi, bila kau sudah tidak wujud, siapa yang mahu memeluk aku di sofa? Dan nanti, bila kau ada pasangan yang lain, adakah kucing kamu bernama Summer dan bebolanya biru, macam warna kegemaran kita.

Kekanda Adinda

Hari ini hari jadi dia. Kau sudah rancang macam-macam; tema, Dia. Kau tengah tunggu dia ambil kau. Dan sambil bersiap, kau loop lagu “Kekanda Adinda” di telefon. Kau tengok langit, cerah dan ceria. Seperti langit juga turut sama merasai kegembiraan kau. Kau tengok telefon, ada notifikasi WhatsApp masuk. Kau sangka dia. Tapi dia tanya, “Bila kau mau pulang?” Soalan mesej itu bernada sedih walaupun dia tidak letak emoji. Mood kau bertukar. Lagu jadi semakin sayup. Langit jadi mendung. Air mata kau mahu mengalir. Suasana sekeliling jadi kelabu. Ada sesuatu di dalam hati kau yang kau tahu salah tapi kau relakan. Ada sesuatu yang benar tapi engkau abaikan. Kau rasa diri kau semakin susut dimakan vorteks realiti dan kau rasa dunia yang sekarang ini memecah seperti kaca. Kau terdengar bunyi hon kencang sedang ditekan di luar sana. Ada juga suara jiran yang bising sedang memarahi si bangang yang sedang tekan hon kuat-kuat itu. Kau jadi normal. Semuanya jadi normal. Suara Atilia yang riang seperti anak kecil menyerikan telinga kau. Dan hati kau berbunga-bunga. Dia yang kau …

Hikayat Mustafi dan Kacang Ajaib

Mustafa terkenal di kampungnya sebagai seorang pemalas. Kerjanya hari-hari hanya tidur di atas bukit sehingga petang. Telinganya juga sudah lali dengan cemuhan orang kampung yang saban hari tidak henti-henti. Begitu juga dengan kedua ibu bapanya, setiap hari memaksa dia untuk mencari pekerjaan supaya dia beroleh jodoh dan meninggalkan rumah. Namun, Mustafa hanya memekakkan telinga sambil tersenyum. Satu tentang Mustafa yang ramai tidak tahu, ketika kecilnya, dia berjumpa dengan seekor bidadari ketika mengejar layang-layang di atas bukit. Bidadari itu cantiknya seperti musim bunga dan harumnya seperti keseluruhan bunga di dunia dikumpulkan menjadi satu. “Kelak nanti engkau dewasa, aku akan menjadi isterimu, dan kita berdua akan hidup di atas awan, bermandikan air hujan yang turun dari pelangi. Engkau binalah tangga untuk ke awan agar aku tahu kesungguhan engkau wahai bakal suamiku.” Demikianlah janji sang bidadari untuk Mustafa. Sejak dari hari itu, hidupnya hanya berfikir tentang bagaimana dia harus membina tangga untuk mencapai awan. Sebab itulah dia menghabiskan hari-harinya hanya di atas bukit. Suatu hari, dia terdengar kisah tentang seorang jejaka yang memiliki tiga biji kacang ajaib. Kononnya …

Nyawa

Seorang jutawan sedang membaca surat khabar di suatu pagi. Hatinya tersentuh dengan keadaan dunia yang sangat nazak. Banyak kemiskinan berlaku di sekelilingnya sedang dia hidup senang lenang dan kaya raya. “Aku banyak wang, aku akan bantu mereka semua.” Jadi, tanpa berlengah, dia dermakan keseluruhan wang yang dia ada. Dalam kegembiraan mereka yang memerlukan, dia ditinggalkan keluarga, hilang kedudukan, menjadi miskin dan tinggal sendirian di apartmen usang sambil bekerja sebagai tukang sapu. Baginya, menjadi miskin demi membantu mereka yang memerlukan itu sepatutnya sudah cukup untuk membuatkan dia merasa bahagia, malangnya, dia masih lagi tidak tenteram. Suatu hari, ketika sedang membaca surat khabar, dia terbaca tentang yang masih ramai lagi manusia yang mati kerana kurangnya penderma organ. Dia sedar, menderma jutaan wang bukanlah penyelesaian kepada masalah dunia, tetapi ini. Kali ini dia nekad. Dia bergegas ke hospital dan mendermakan satu daripada buah pinggangnya. Dan pembedahan itu berjaya. Dia sepatutnya merasa bahagia selepas itu. Tetapi entah kenapa masih terdapat lompong di dalam hatinya. “Masih tidak cukup,” katanya dalam hati. “Dunia masih lagi nazak.” Setelah dia sembuh, dia kembali …