All posts filed under: Puisi

Seorang Pencinta itu Narsis

Aku tidak tahu bagaimana mahu meminjam kata-kata puisi dari buku nota yang kau tinggalkan untuk dibaca di hari kematianmu mencarinya juga aku tidak jumpa kerana kau suka bermain teka-teki dan kau tahu aku benci dengan setiap persoalan misteri yang kau reka hanya kerana kau percaya bahawa setiap dari kita berasal dari monyet dan itu menurut kau adalah misteri yang paling agung di dunia Puisi yang kau baca sebenarnya sudah basi menjadi keringat di dadaku sama seperti kau suka menggabungkan puisi dengan kopi dalam penulisan tiada originaliti dan berulang-ulang sehingga mematikan kualiti sampai aku pasti kau bukanlah seperti nama-nama besar yang kau laungkan kau hanya bersembunyi di balik bayang-bayang yang juga turut mahu melarikan diri dan kau adalah wajah kegagalan yang berbunyi kelakar dan hidup dalam dunia yang sunyi Kau masih ingat kau pernah menulis tentang matahari yang muncul ketika malam dan bintang menyinar dengan terang ketika matahari terik kau bertanya kepada aku kenapa kau memilih metafora begitu aku masih ingat aku hanya menggeleng kepala sambil menarik nikotin dan tar dan kau melihat asap itu terbang …

Tuhan, Izinkan Kami Menjadi Satu

Aku membilang jari, satu dua tiga empat lima, engkau menyambung, enam tujuh lapan sembilan dan kita saling menjerit bersama sepuluh! (riang) Waktu itu kopi orang kaya masih lagi panas dan suara kereta belum lagi bingit di telinga hari ceria itu antara pukul 10 pagi hingga sebelum tengahari. Kita mengira manusia berjalan dengan jari masing-masing ada yang berjalan dengan pantas ada yang berhenti menatap telefon dan menyambung berjalan ada juga yang melihat kita dengan wajah aneh kita ketawa dan dia membuat wajah kecewa (rambang) Kita saling percaya bahawa dunia ini hanya tempat permainan awan seperti watak-watak humor yang tidak bernama matari pula seperti ibu yang ceria hujan seperti anak kecil yang merayu meminta disusukan dan adakalanya petir seperti ayah marah bertalu-talu tidak berhenti itu ketika siang. Ketika malam tidak banyak kita saksikan bulan umpama nenek yang maha penyayang menceritakan kepada kita tentang cucu-cucunya yang ceria dan saling bersinar dan itu buat engkau cemburu engkau kata bahawa tiap kali nenek bercerita, engkau mahu jadi watak utama, aku kata itu mustahil namun engkau marah dan pergi meninggalkan aku …

Pusing, di Satu Tempat

Sudah pukul tiga suku, pagi, mentari belum naik lagi, ibu, masih menari dalam mimpi tentang syurga, tentang hati, tentang ayah yang berdondang cinta entah ke mana, entah di mana. Renjatan subuh, kopi, nikotin rutin pagi, daun-daun mati di balkoni di hujung ibu jari kaki membuat huruf U macam nak isytihar kewujudannya dalam spoken word poetry ini, atau nak kata– U, macam kau, macam kamu. Kau, dunia itu hijau dan sederhana dan bulat macam “O”, macam kosong tapi hijau itu bukan mentah macam kau dan sederhana itu bukan sekadar apa adanya, tapi, buat supaya dia ada dan, diam, diam bukan sekadar ada isi macam ubi, kau diam, maka kau tenggelam dengan isi-isi dan esok hari bila kau keras macam kayu kau marah sebab kau rasa, bila kau diam, dan kau berisi, kau rasa special sangat special sangat-sangat dan esok hari, isi kau akan dituai dengan izin kau kata Tapi, penuai ni manusia, kawan, dan takkan terlahir untuk membaca; hati atau isi atau masa depan atau, adakah yang lalu akan bergolek selamanya ke belakang atau menjadi ekor …

Puisi, Mari Menari

Mari mencari aksara yang bersembunyi dibawa angin, di sana, terdapat makna dan rahsia rasa. Bila jumpa, ingat ikat erat-erat. Aksara bercampur rindu selalu berwarna sedih kerana jauh alamatnya. Namun bacalah dengan hati, menjadi ia puisi yang mencuri madu bunga-bunga, agar melekat dua hati. Ingat, jangan lepas. Malah ikat pada sayap malaikat untuk kirim ke depan pintu hati yang mengingat. Mari mengetuk pintu langit. Jemput matahari mencintai puisi, biar awan menjadi bantal yang selesa, namun jangan hanya dibaca ketika siang, nanti bulan akan cemburu miang, bacalah juga waktu malam, agar bulan menari bersama bintang, mendendang lagu bersama pari-pari, dan hujan juga bisa menari dengan terpesona, bukan memberi khabar kecewa. Maka jangan berhenti, biar sampai mati, kata-kata jadi puisi, barulah hidup indah bermakna. Puisi biar jadi senjata melawan sejuta derita, berdendanglah puisi di jalan raya, gertak dewa-dewa yang gementar berpura-pura di dewan khayalan, ayuh! bersatulah puisi-puisi kaki lima, tidak rugi berpuisi jika revolusi mampu buat kita menari. Citra puisi, adalah ruang hati bersuara, aksara jangan dipenjara kata-kata duka, bukan juga untuk meraih anugerah dunia sementara, ia rumah …

Sedih itu Biar Berdiri Sendiri

Tiada hadiah menarik yang mampu kubawa untuk hari lahirmu yang kedua puluh lapan, selain seuntai hati untuk berharap. Barangkali, saat aku pergi, tiada jarum yang jatuh juga bisa membunyikan sunyi. Saat bulan menerangi ruang kantor, biru matamu masih lagi terang bak langit yang tidak merindukan awan, seperti rinduku pada pipi itu yang sedang dicium oleh tuan rumah ini. Dan seperti simponi 5, aku juga sedang mencuri masuk mencari cinta engkau yang Tuhan sembunyikan, namun, seperti penulisnya, aku juga gagal melawan takdir dari Tuhan Maha Arif. Bulan juga sudah tidur berselimut langit dan berbaring di awan. Lewat kelkatu dan wain murah, terhuyung-hayang aku mengiring orkestra anjing di lorong gelap, dengan baju pinjam mahal yang basah kerana wain pun sudah bosan tinggal di dalam botol, akal pun sudah bosan tinggal di dalam otak, air mata pun sudah penat mengalir keluar, semua pun sudah bosan bersamaku, seperti pantas engkau melupakanku, dan aku pantas pernah mencintaimu. Wajahmu, kini hanya tinggal di dalam hati, dan kekal bisu tidak mahu berkata-kata sampai pasti menjadi sisa yang sia-sia, lewat baju busuk dan …

Surat Penyair Kepada Lazuardi dan Pelangi

Sebermula, lazuardi adalah sebuah hamparan tidak berwarna, kosong ia. Dan, ketika tanganmu mulai menari gemalai dengan berus-berus cinta, setiap satu kata-kata itu engkau tulis dan membentuk matahari, awan dan lazuardi bertukar biru, tenang ia. Seperti lautan biru, biru sebiru-birunya. Biru, aku mahu menyelam dan terus tinggal di dalam. Biru, tidak akan kabut walau lasykar asap bertalu-talu membunyikan gong untuk menawan. Seketika itu, tenang ia (lenggang kosong tanpa kata-kata) menunggu; air mata membasuh setiap dosa manusia (sejagat). Seperti perit, erti sedih adalah luka yang dibalut lembut, dan habis membasahi lewat pipi, tanpa kejam tanpa dendam, seri. Dan harapan, bukan engkau jual di petang hari kepada laksamana yang dambakan cinta puteri. Kau adalah warna yang hilang dan menjadi pelangi yang utuh hadir di sini. ~ Photo by Blake Lisk

Biar Aku Galas Rahsiamu (Rahsiamu, Rahsiaku Juga)

Biar aku galas rahsiamu (rahsiamu, rahsiaku juga) biar aku kekal bersama (ke mana engkau pergi, aku pergi, dan apa-apa pun mahumu, mahuku juga). Jangan, risau hilang cinta (bukankah aku cintamu?) dunia, biar musnah (bukankah engkau duniaku? Dan aku juga) dan engkaulah burung berkicau dan matahari bersinar dan ketika bulan mengambang penuh, aku akan menemani. Dan kita adalah rahsia yang tiada orang tahu (rahsia yang menjadi akar kepada akar dan menjadi langit kepada langit dan menjadi bintang kepada bintang dan menjadi nyawa kepada pokok; yang memanjat tinggi ke Bimasakti hingga tiada jiwa mampu menyelinap) dan kitalah magis yang ahli nujum cemburu. Biar aku galas rahsiamu (rahsiamu, rahsiaku juga)

Melankolia

Dalam lautan meja kosong, matari terik menyelinap masuk ke dalam kedai kopi mahal membentuk bayang-bayang tiada simetri, kegelapan menelan meja kosong walau bulan masih bersenggama dengan bintang, adakah rindu curang kepada sepi? Lelagu akustik yang tidak pernah didengar di radio, pendingin hawa yang tidak sedingin minuman mahal, lampu malap yang membawa semua mimpi menjadi raksasa mati, adakah rindu lupa kepada sunyi? Gelak tawa anak orang kaya sedang membunuh hari tukang sapu yang mati-mati kerja untuk belikan telefon murah kepada anaknya, suara barista bercakap bahasa barat yang tidak jelas diksinya, potret-potret pemandangan yang Piccaso tidak sengaja beri ilham selepas menjadi hantu kepada pelukis jadi-jadian, adakah rindu menunggu mimpi? Dan, kamu, bidadari, bisikan hati sajak ini, sempurna perbuatan, perkataan dan perwatakan, menyihir aku untuk maki, kedai kopi mahal tempat kita bertemu, d u l u

Ketika Tuhan Jatuh Cinta

Kirim padaku sayap dari syurga, aku terbang membawa bunga, mencari engkau yang sengsara. Kirim padaku senandung rindu, agar laguku singgah ke masa dulu, mengubat pilumu yang lalu. Kirim padaku warna biru, aku menjadi langit, meneduh engkau yang malu, kepada matari yang terik. Kirim padaku derita, agar aku kenal bahagia, biar jadi cerita, dua hati enggan berpisah, berjanji hari esok tiada hilang, dan semalam hanya hari malang. Tiada mampuku beri, lagu semerdu angin melambai ombak, harta sebiru lautan, puisi seindah Rumi, semua luar batas mampuku, yang ada hanya murni, ambillah, gantung jantungku. Sajak ini menanam harapan, kepada sisa-sisa kenangan, yang kita bina, di atas cemara, sebelum kata akhir diucap, dan janji aku tulis di atas daun, agar engkau ingat, engkau, aku, satu.